Wednesday, November 24, 2010

Biar kita jadi pembenci mungkar~perindu redha Allah



Membenci mungkar adalah wajib, bukan sunat, bukan harus, tapi WAJIB. Kata lawan bagi membenci itu adalah meredhai. Barangsiapa yang meredhai mungkar maka dia telah meredhai apa yang Allah dan Rasul tidak redha dan benci.Dan siapa yang melakukan perkara yang tidak diredhai oleh Allah dan Rasul, maka Allah sendiri melaknat mereka seperti yang Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 57:
Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.
Sebelum kita bimbang dan melihat-lihat dosa dan kemungkaran yang berleluasa dalam masyarakat, adalah amat bodoh jika kita tidak melihat dosa dan kemungkaran yang berleluasa dalam diri dan hidup kita sendiri.Terutamanya tentulah hati kita ini. Segala dosa dan mungkar yang berleluasa dalam diri kita tentunya bermula dari hati.
Bukanlah sifat Pembenci Mungkar yang sebenar, jika kita tidak menjadi Pembersih Hati.Dan sebenarnya inilah tawaran dari Allah buat para Perindu RedhaNya untuk mencuci kembali dosa mereka.Setiap manusia yang mahu menjadi Perindu Redha Allah mestilah menjadi Pembersih Hati.Jika tidak menjadi Pembersih Hati, maka kita akan terus dilanda dosa dan mungkar atas sebab kelemahan manusia ini sentiasa mudah berdosa pada Allah s.w.t.
Allah s.w.t menasihati kita dalam firmanNya dalam surah an-Nur ayat 21,
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui
RedhaNya adalah RahmatNya.Menjadi Perindu RedhaNya mestilah juga menjadi Pengharap RahmatNya.
Bersifat keras kepala, ego, sombong, riak, takabbur,merupakan antara sifat-sifat para kuffar yang mengingkari untuk menunduk beribadat pada Allah s.w.t. Apa yang Allah telah perintahkan buat mereka, mereka langgar. Apa yang Allah larang, mereka perbuat. Apa yang Allah murka, mereka suka dan cinta. Apa yang Allah redha, mereka benci dan hina. Keji, mungkar, zalim adalah tiga sifat orang yang menyombong diri dan takabbur kepada Allah dan Rasul. Mereka sengaja menjadi tahi , sesudah tahu tahi itu di mangkuk jamban.Mari kita jauhi sifat riak, sombong, takabbur ini. Bertaqwalah kepada Allah!

Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah”, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahanam. Dan sungguh neraka Jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.(al Baqarah: 206)
Meletakkan kedudukan CINTA buat Allah dan Rasul di tempat tinggi dalam hidup, adalah sifat orang-orang yang merasai kelazatan iman. MENCINTAI seseorang semata-mata kerana Allah suka kita mencintainya, merupakan CINTA KERANA ALLAH, juga sifat orang yang merasai kelazatan iman.Dan menjadi PEMBENCI MUNGKAR, benci untuk kufur, benci menjadi kafir sesudah kita diselamatkan mendapat iman, juga merupakan sifat orang yang merasai kelazatan iman.
Seperti yang disebut dalam hadis yang sering kita mahu ulang-ulangkan,
“Ada tiga jenis manusia yang di dalam dirinya terdapat manisnya iman. Iaitu, hendaknya Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada selain keduanya; hendaknya mencintai seseorang hanya semata-mata kerana Allah, dan hendaknya membenci kekufuran sesudah Allah menyelamatkannya dari kekufuran itu, sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api.”
Dan bukanlah sifat PEMBENCI MUNGKAR dan PERINDU REDHA ALLAH jika kita hanya melakukan salah satu sahaja dari dua jalan yang Allah redha untuk jadi perjuangan kita.Menyeru kepada makruf , mencegah dari kemungkaran. Kita ajak orang berbuat makruf sebagai tanda kita ini mahu berbuat makruf, dan kita mestilah mendahului orang untuk berbuat makruf, bukan membiarkan orang sahaja di hadapan berbuat makruf. Berkejar-kejar berbuat kebaikan seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t dalam al Anbiya ayat 90,
“…(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.”
Begitu juga apabila kita mencegah dari yang mungkar, mestilah kita dahulu yang menjauhinya, kita dahulu yang membencinya. Bukanlah pula apabila kita dahulu yang perlu menjauhinya dan merasai diri kita ini tak henti berbuat dosa maka kita langsung pula tidak melarang perbuatan dosa yang berleluasa di sekeliling kita. Kita tak mungkin maksum, menunggu untuk maksum sebelum melarang dosa yang berleluasa merupakan kerja orang yang tak siuman. Malah perilaku tidak melarang mungkar juga diklasifikasi sebagai perbuatan buruk oleh Allah s.w.t,

Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.(al Maidah: 79)
Mungkin kita tak mampu mengubah segala kemungkaran menjadi kebaikan sekelip mata, namun sekurang-kurangnya kita bukanlah penyokong atau orang yang meraikan kemungkaran, kita membenci segala mungkar, protes, bantah, tidak setuju,tidak redha dan hal ini bukan khilaf kerana sepakat sekalian umat islam membenci segala kemungkaran, kekejian, dan kezaliman.
                                                                                                                                            
 "kita ini hanya menyampaikan, Allah s.w.t jua Yang Maha Memberi"


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...